KUALA LUMPUR- Dua Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin parti akan mempertimbangkan untuk merayu terhadap hukuman pemecatan dan penggantungan keahlian mereka.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, satu perbincangan dengan ketua-ketua bahagian lain yang turut dipecat akan diadakan.
“Ini sebagai reaksi awal, saya boleh sahkan bahawa kami menerima surat makluman keputusan Lembaga Disiplin. Kami terima surat berkenaan.
“Kita akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya termasuklah sama ada untuk membuat rayuan atau tidak, kita akan maklum juga,” katanya pada sidang akhbar yang turut disertai Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Parlimen pada Selasa.
Terdahulu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi susulan pelanggaran perlembagaan dan kod etika parti.
**media[3308443]**
Wan Ahmad Fayhsal pula digantung hak keahlian bagi tempoh satu penggal di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
Selain mereka, empat lagi ahli turut dipecat iaitu Mohd Azrudin Md Idris, Mohd Faizal Asmar, Mohd Fahdli Ismail dan Mohd Isa Mohd Saidi.
Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan, beliau tidak akan berganjak daripada perjuangan bersama Bersatu, iaitu parti yang turut dibinanya sejak dari awal.
Katanya, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) bukan milik peribadi mana-mana individu tetapi ditubuhkan hasil pengorbanan semua ahli di pelbagai peringkat serta akar umbi.
“Parti ini tidak boleh digunakan untuk ditunggang oleh sesiapa sahaja untuk menyelamatkan diri ataupun ahli keluarga mereka.
“Kami mahu memastikan Bersatu ini diselamatkan dan dikembalikan kepada matlamat serta hala tuju yang sebenar iaitu perjuangan untuk menegakkan dan membela rakyat, bukannya dilibatkan dengan isu-isu berkaitan peribadi atau keluarga semata-mata,” katanya.
Beliau turut mendakwa keputusan Lembaga Disiplin parti terhadap mereka dibuat secara tergesa-gesa tanpa mematuhi prinsip keadilan dalaman.
Dakwanya lagi, surat pemecatan dihantar melalui aplikasi WhatsApp pada jam 10.45 malam Isnin, manakala rakannya, Wan Ahmad Fayhsal menerima notis penggantungan sekitar jam 10.30 malam pada hari yang sama.
“Saya ‘puji’ kepantasan dan kecakapan perkhidmatan parti, sampai tengah malam pun boleh hantar surat. Ini perkhidmatan yang sangat efisien,” katanya dengan nada sinis.